METODOLOGI DAKWAH YANG BERKESAN

 


DIPLOMA TAHFIZ DAN BAHASA AL-QURAN

KOD KURSUS:

AGM 2073

NAMA KURSUS:

DAKWAH

TAJUK:

METODOLOGI DAKWAH YANG BERKESAN

NAMA PENSYARAH:

USTAZAH JUWAIRIYAH BINTI MOHAMAD YASIN

 

BIL.

NAMA PELAJAR

NOMBOR MATRIK

1.

NUR AISYAH BINTI AZEMAN

20DTBQ0157

2.

NUR MAISARAH BINTI HUSSIN

20DTBQ0160

3.

NIK AISHAH BINTI NIK AZHAR

20DTBQ0154

4.

MUJAHIDAH BINTI MOHAMAD

20DTBQ0153

 

 

 

ISI KANDUNGAN                                                                                

 

1.0       PENGENALAN                                                                                                    

2.0       DEFINISI DAKWAH                                                                                      

3.0       SUMBER METOD DAKWAH                                                                         

            3.1       Kaedah Dakwah Dalam Al-Quran                                                        

            3.2       Kaedah Dakwah Dalam Al-Sunnah                                                       

3.3       Pengalaman Berdasarkan Keadaan Sasaran                                             

4.0       STRATEGI RASULULLAH S.A.W BERDAKWAH                                         

5.0       BAHAGIAN-BAHAGIAN METOD                                                                  

6.0       METOD UNTUK MENARIK PERHATIAN SASARAN                               

            6.1       Persembahan Yang Cantik                                                                     

            6.2       Mengemukakan sesuatu pemikiran dengan label-label baru                 

            6.3       Bersimpati dengan masalah-masalah sasaran                                         

            6.4       Mengemukakan isu tepat pada waktunya                                               

            6.5       Menonjolkan unsur-unsur perlu                                                            

            6.6       Berdasarkan psikologi                                                                            

            6.7       Penguasaan ilmu yang luas                                                                     

7.0       PENDEKATAN DAKWAH YANG SESUAI BAGI GOLONGAN                

            MUALAF                                                                                                           

8.0       RUMUSAN                                                                                                       

            RUJUKAN                                                                                                        


1.0       PENGENALAN

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. serta seluruh keluarga baginda s.a.w.

          Pertama sekali, kami bersyukur kerana dengan izin-Nya kami dapat menyiapkan tugasan ini yang diberi tajuk “Metodologi dakwah yang berkesan”. Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ustazah Juwairiyah binti Mohamad Yasin atas bimbingannya dalam proses untuk menyiapkan tugasan ini. Semua umat Islam haruslah berusaha untuk berdakwah kepada masyarakat sekelilimg. Hal ini kerana, menjadi tanggungjawab setiap manusia untuk menyampaikan dakwah. Sedangkan senyum itu juga satu dakwah dalam Islam. Di sini, kita dapat melihat bahawa betapa mudahnya untuk berdakwah. Dalam tugasan ini kami akan membincangkan tentang definisi dakwah dan sumber metod dakwah. Seterusnya, kami juga akan mengenalpasti kaedah dakwah dalam Islam dan cara dakwah Rasulullah. Selain itu, tugasan ini juga akan menerangkan bahagian – bahagian metod dan metod untuk menarik perhatian sasaran. Akhir sekali, pendekatan dakwah yang sesuai bagi golongan muallaf juga akan dibincangkan. Kami berharap agar tugasan ini dapat memberi manfaat kepada kami dan kepada sesiapa sahaja yang membacanya.

2.0       DEFINISI DAKWAH

Dari segi bahasa, dakwah berasal daripada perkataan arab iaitu da’a, yad’u, da’watan yang mempunyai beberapa pengertian iaitu meminta tolong, beribadat, memandu, menyeru, memanggil, mengajak, menjemput dan melaung. Perkataan dakwah hampir sama maknanya dengan tabligh, nasihat, tarbiyah, tabsyir dan tanzdir. Namun, jika dikaji dengan lebih mendalam, perkataan ini mempunyai maksud dan kegunaan yang berbeza. Dalam konteks al-Quran, makna dakwah adalah relevan dengan firman Allah SWT dalam surah Yunus:

 

(والله يَدْعُوٓاْ إِلَى دَارِ السَّلٰمِ وَيَهْـدِى مَن يَشَآءُ إِلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقَيمٍ)

Maksudnya: “Dan Allah menyeru (manusia) ke Darussalam (syurga), dan menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus (Islam)”. (Surah Yunus: 25)

 

            Dari erti kata lain, dakwah ialah mengajak umat manusia dengan hikmah dan kebijaksanaan untuk mengikuti petunjuk Allah dan Rasul-Nya. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, beliau mendefinisikan wqqdakwah sebagai usaha untuk membawa orang lain kepada agama Islam supaya mengikuti petunjuk agama ini, melaksanakan segala ketetapannya di muka bumi, mengkhususkan segala bentuk penghambaan diri, melepaskan diri dari segala kongkongan yang bukan daripada Allah (taghut) yang terpaksa dipatuhi, menyeru kepada kebaikan dan mencegah segala kemungkaran serta berjihad pada jalanNya. Selain itu, Dr. Ra’uf Shalabi menjelaskan bahawa dakwah Islamiah itu adalah gerakan yang membawa atau mengubah masyarakat daripada kekufuran kepada keimanan, daripada kegelapan kepada cahaya dan daripada keadaan sempit kepada keadaan lapang, di dunia dan di akhirat.

            Adam Abdullah al-Auri dalam kitabnya Tarikh al-Dakwah al-Islamiyah baina al-Ams ila al-Yaum menjelaskan bahawa dakwah ialah memalingkan pandangan dan pemikiran manusia kepada pandangan dan pemikiran yang berdasarkan akidah, kerana dakwah merupakan satu seruan bagi menyelamatkan manusia daripada kesesatan yang membawa mereka terjerumus kedalamnya. Seterusnya, Dr. Abu al-Majd al-Sayyid Nawfal mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan dakwah itu ialah usaha golongan yang mempunyai kemampuan memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada sasaran untuk membawa mereka kepada Islam dan menjauhkan mereka daripada kepercayaan selain kepada Allah SWT dengan cara-cara tertentu.

            Daripada pengertian dakwah yang telah dijelaskan oleh beberapa tokoh di atas, boleh disimpulkan bahawa dakwah merupakan satu usaha yang dilakukan oleh seseorang atau kumpulan itu menyeru manusia dengan menggunakan beberapa pendekatan tertentu untuk membawa mereka semua kepada keredhaan Allah SWT.

 

3.0       SUMBER METODE DAKWAH

Metode dakwah merupakan salah satu unsur dakwah yang memiliki peranan penting dan strategi untuk keberhasilan dakwah. Metode dakwah sentiasa mengalami perkembangan sesuai dengan perkembangan situasi dan keadaan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat metodologi membawa maksud sistem yang merangkumi kaedah dan prinsip yang digunakan dalam sesuatu kegiatan atau disiplin. Metodologi juga bermaksud ilmu tentang metod atau disiplin yang digunakan semasa melakukan kajian tertentu untuk mencapai tujuan tertentu. Dakwah yang hendak dilakukan hendaklah mengikut metodologi yang diikuti oleh para Nabi dan Rasul, disamping menyesuaikannya dengan perubahan zaman dan persekitaran, mengikut apa yang terbaik untuk zaman dan masyarakat tersebut. Namun, walau bagaimanapun sumber utama metodologi dakwah adalah Al-Quran dan Al-Sunnah. Zaydan menjelaskan bahawa sumber metodologi dakwah itu datangnya dari Al-Quran, Al-Sunnah, perjalanan hidup tokoh-tokoh terdahulu, ijtihad ahli feqah dan pengalaman atau percubaan. Namun, sumber pokok kepada metod dakwah adalah Al-Quran dan Al-Sunnah serta pengalaman berdasarkan keadaan sasaran.

 

3.1       Kaedah Dakwah Dalam Al-Quran

 

Al-Quran merupakan kitab yang menjadi teras pegangan wajib umat Islam. Bahkan berpegang dengan al-Quran merupakan salah satu wasiat penting yang disebut oleh Rasulullah SAW. Hal ini dapat dilihat melalui sabda baginda:

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Maksudnya: “Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah nabiNya.”(Riwayat Malik, diriwayatkan dengan lafaz berlainan oleh Muslim, Abu Dawud dan al-Tirmizi)

 

Al-Qur'an banyak memberi contoh tentang cara berdakwah serta memerintah setiap orang Islam supaya berdakwah dengan menggunakan cara tertentu. Dalam Surah al-Nahl ayat 125 sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, Allah dengan jelas memerintahkan supaya dakwah itu dilakukan dengan cara tertentu, yang boleh menarik sasaran. Berhubung dengan ayat tersebut, Dr. Ra'uf Shalabi menerangkan bahawa cara dakwah sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat tersebut adalah cara yang dilalui oleh Nabi s.a.w. dalam dakwahnya kepada semua peringkat sasaran. Firman Allah SWT:

إِنَّ هَذَا الْقُرْآَنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا (9)

Maksudnya : “Sesungguhnya Al Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang mu'min yang mengerjakan amal saleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar,”(Surah al-Isra’, 17 : 9)

 

Apa yang dimaksudkan dengan ‘jalan yang lebih lurus’ di dalam ayat di atas adalah cara hidup beragama yang paling benar jika dibandingkan dengan agama-agama yang lain. Kebenaran ini meliputi semua bentuk amalan dalam kehidupan. Ini bermakna dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan, seseorang itu dijamin berada di dalam kebenaran.

 

Ayat-ayat yang disenaraikan di atas hanyalah merupakan sebahagian daripada penegasan bahawa Allah SWT memerintahkan kepada setiap muslim agar menjadikan al-Quran dijadikan sebagai panduan di dalam kehidupan. 'Abd al-Karim Zaydan menyebut bahawa al-Qur'an banyak mendedahkan metod dakwah yang mana Islam mesti memahaminya, sebagaimana dia memahami perkara-perkara lain yang terdapat di dalam al-Qur'an. Tuhan memaparkan metod-metod dakwah di dalam al-Qur'an untuk dijadikan panduan yang boleh membantu usaha dakwah.

 

3.2       Kaedah Dakwah Dalam Al-Sunnah

Dalam al-Sunnah juga terdapat banyak contoh-contoh metod dakwah. Malah, sepanjang hidup Nabi SAW dipenuhi dengan metod-metod dakwah, ini kerana tugas baginda ialah berdakwah. Nabi Muhammad SAW diutus oleh Allah ke bumi untuk menyebarkan agama Islam. Dalam tempoh waktu 23 tahun, beliau kemudian berhasil membawa manusia dari zaman kegelapan menuju zaman yang terang benderang. Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, antara metod Nabi SAW yang awal ialah cuba memperkenalkan Islam kepada orang-orang tertentu yang ada harapan akan menerima Islam dan supaya golongan ini boleh membantu baginda mempercepatkan perkembangan Islam. Baginda juga mengembangkan Islam pada peringkat permulaan dengan cara senyap-senyap.

 

Selain itu, cara dakwah dan akhlak Rasullullah SAW yang lemah lembut dari segi pertuturan, pergaulan dan tindakan menyebabkan orang kafir tertarik kepada orang Islam. Sebagai contoh, orang musyrik yang mulanya berhati keras dan menentang dakwah Rasulullah SAW berubah, beriman dan cinta kepadanya setelah mengenali keperibadian baginda. As-Syahid Syekh Ramadhan Al Buthy dalam kitab Fiqh Sirah-nya telah menyebutkan antara langkah keberhasilan baginda nabi dalam berdakwah adalah dengan membangunkan masjid. Menurut Ustaz Khairuddin, Rasulullah bukan hanya membangun masjid semata-mata tapi juga memakmurkan dan memperkuasakannya. Menurut dia, masjid ketika itu menjadi pusat pergerakan dan perbaikan umat dengan segala bentuk iatu dari segi persoalan tentang keagamaan hingga persoalan tentang kenegaraan.

 

Zaydan menjelaskan bahawa Sunnah dan sirah Nabi SAW, di Makkah atau di Madinah banyak mengandungi hal-hal yang berhubung dengan metod dakwah dan cara untuk menyelesaikan masalah-masalah tertentu yang dihadapi. Kesemuanya boleh memberi suatu bahan yang cukup baik dalam metodologi dakwah, terutamanya kerana Rasulullah SAW telah melalui semua keadaan yang mungkin dilalui oleh pendakwah-pendakwah sekarang. Apa sahaja keadaan yang terpaksa dihadapi oleh pendakwah sekarang ada contohnya dalam sejarah dakwah Nabi SAW dan ini akan memberi panduan yang baik bagi pendakwah sekarang.

 

3.3       Pengalaman Berdasarkan Keadaan Sasaran

Pengalaman yang dilalui oleh seseorang semasa berdakwah daripada keadaan sasaran yang bermacam-macam boleh menjadi sumber kepada pembentukan metod dakwah. Ini bererti bahawa pengalaman-pengalaman terdahulu dengan bermacam-macam metod yang digunakan untuk disesuaikan dengan sasaran yang berbeza boleh dijadikan khazanah dan rujukan untuk orang kebelakangan. Pembinaan metod dalam dakwah sangat berhubung kait dengan keadaan masyarakat, kerana dakwah ialah penyelesaian masalah, sama ada yang berhubung dengan akidah, syariah, akhlak ataupun lain-lain. Masalah yang dihadapi oleh sesuatu sasaran itu agak berbeza. Oleh itu, cara penyelesaian turut berbeza.

 

Pendakwah yang mengikut metod yang betul adalah pendakwah yang cuba menyelidiki keadaan sasaran dan pengalaman-pengalaman orang lain supaya dapat dilakukan cara dakwah yang tepat dengan sasaran. Seorang pendakwah bukan  sahaja memiliki  kualiti peribadi  yang unggul, tetapi  turut memiliki  kualiti keilmuan.  Justeru,  pendakwah  perlu  mempersiapkan  diri  dengan  menguasai  sejumlah  ilmu pengetahuan yang mantap berkaitan dengan mesej dakwah. Pengalaman orang dahulu boleh dijadikan rujukan yang penting dalam pembinaan metod dan merupakan al-Qur'an dan al-Sunnah.

 

Al-Quran  juga  menyantuni  sikap pendakwah  yang  menggunakan  pendekatan  dakwah  secara lisan dengan istilah  qawl (yang bermaksud perkataan). Dalam surah al-Isra’  ayat  23  Al-Quran menggunakan kalimah qawlan kariman (perkataan yang mulia  dan mengandungi mesej  penghormatan) yang dalam  konteks komunikasi  seorang anak dengan ibu bapanya. Dalam perspektif dakwah, ia sesuai digunakan oleh pendakwah yang mahu berkomunikasi dengan mad`u (orang yang ditarbiyah atau sasaran dakwah) yang terdiri daripada warga emas. Kalimah tersebut bukan sahaja mengandungi makna perkataan yang mulia tetapi memberi suatu  pengertian  bagaimana meletakkan kemuliaan terhadap si mad`u.  Pendakwah perlu  mengetahui strategi  yang betul  ketika menyampaikan  mesej kepada  mad`u.



4.0       STRATEGI RASULULLAH S.A.W BERDAKWAH

Misi dakwah Rasulullah SAW bermula apabila turunnya wahyu daripada Allah SWT. Firman Allah dalam Surah Muddahthir ayat 1-5 yang bermaksud;

 “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya. Dan bersihkanlah pakaianmu. Dan tinggalkanlah perbuatan yang keji.”

           

Pada peringkat awal penyebaran agama Islam, dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah secara rahsia. Baginda menyeru individu daripada ahli keluarga terdekat dan sahabat yang rapat. Antara mereka yang awal memeluk Islam termasuklah Saidina Khadijah RA (isteri baginda), Ali bin Abi Thalib (sepupu baginda) dan Zaid bin Harithah (pembantu baginda). Hal ini diikuti dengan pengislaman Abu Bakar as Siddiq iaitu sahabat baik baginda. Abu Bakar pula berjaya berdakwah kepada orang yang berpengaruh dalam masyarakat seperti Uthman bin Affan dan Abdurrahman bin Auf. Mereka ini kemudiannya mendapat julukan As-Sabiqun al-Awwalun, iaitu orang yang pertama memeluk Islam. Dakwah secara bersembunyi ini mengambil masa selama tiga tahun. Dalam tempoh tersebut, umat Islam berjumpa dan solat secara bersembunyi dilorong atau dilembah yang jauh daripada pengetahuan awam. Rasulullah SAW melakukan dakwah secara bersembunyi sehingga turunnya wahyu daripada Allah SWT. Allah berfirman dalam surah Al-Hijr ayat 94;

(فَاصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ)

Maksudnya: “Maka sampaikanlah olehmu (Muhammad) secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang musyrik.”

 

            Rasulullah SAW kemudiannya berdakwah secara terang-terangan. Beliau memulai dakwahnya dari Bani Hasyim dan keluarga terdekat. Namun pada masa itu, hanya Ali bin Abi Thalib sahaja yang mahu memeluk Islam dan bapa saudara baginda, Abu Thalib bersedia membelanya walaupun ia masih belum mengucap syahadah. Kebanyakannya orang kafir Quraisy yang menentang ajaran Rasulullah SAW, termasuklah bapa saudara baginda sendiri iaitu Abu Lahab. Mereka melakukan pelbagai cara untuk menolak ajaran yang dibawa oleh Rasulullah. Mereka juga membuat rencana untuk membunuh Rasulullah SAW. Hingga akhirnya Allah SWT memerintahkan supaya baginda berhijrah ke negeri Habasyah, di mana terdapat seorang raja yang adil di sana. Tidak lama kemudian, Allah SWT memerintahkan agar baginda berhijrah ke Kota Madinah. Setibanya di Madinah, baginda dan para sahabatnya telah membangunkan sebuah masjid yang diberi nama masjid Quba’. Pembangunan sebuah tempat untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT dan juga tempat menyusun tugas-tugas dakwah berjalan dengan lancar melalui kerjasama dari semua pihak termasuk Rasulullah SAW sendiri. Perjuangan dakwah Rasulullah SAW telah membawa Islam dari zaman jahiliyyah menuju kepada peradaban Islam yang cerah.

 

 

5.0       BAHAGIAN – BAHAGIAN METOD

            Untuk mencapai matlamat dakwah, kita mestilah mengetahui bahagian- bahagian metod dakwah. Terdapat beberapa bahagian-bahagian metod yang boleh kita perhatikan dan laksanakan. Antaranya adalah metod pada isi. Sebelum berdakwah, kita seharusnya memastikan isi yang ingin disampaikan padat dan ringkas. Isi dakwah kita juga hendaklah berteraskan Al-Quran dan al-Sunnah sepertimana sumber metod dakwah yang telah dibincangkan tadi. Pendakwah juga patutlah menambahkan ilmu pengetahuan agar isi dakwah yang disampaikan tidak lari dari syarak. Tambahan pula, pendakwah perlulah mengenal pasti terlebih dahulu masalah yang dihadapi sasaran. Kemudian mencari jalan penyelesaian untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sasaran. Sepertimana dalam kisah pertemuan antara Jaafar ibn Abi Talib dengan Raja Habsyah, al-Najashi. Jaafar diminta oleh Raja Habsyah untuk mengemukakan apa-apa keterangan dari Allah melalui nabi yang baru diutuskan itu yakni Nabi Muhammad s.a.w. Kebijaksanaan Jaafar dengan memilih Surah Maryam membuatkan Raja Habsyah menangis kemudian berkata yang maksudnya: Demi Allah yang mengutuskan Nabi Isa, sesungguhnya ini (agama yang dibawa oleh Muhammad s.a.w) datang dari tempat yang sama (dengan agama yang dibawa melalui Nabi Isa). Surah Maryam dipilih adalah untuk menyesuaikan dengan Raja Habsyah yang beragama Kristian dan ini adalah metod dakwah mengenai isi.

            Seterusnya, metod pada gaya dan bentuk persembahan. Pendakwah mestilah mengambil serius pada bahagian ini kerana bahagian ini sangat penting. Gaya dan bentuk persembahan ketika berdakwah adalah hendaklah secara berhikmah, nasihat yang baik dan berbincang dengan cara yang betul. Jika hal ini diambil ringan, bukan sahaja sasaran tidak dapat menerima dakwah kita, malah, sasaran juga turut memandang rendah kepada semua pendakwah. Allah telah berfirman dalam Surah An-Nahl, ayat 125:  


Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan cara hikmah, nasihat yang baik dan berbincanglah dengan bijaksana…”.Bukan itu sahaja, gaya dan bentuk persembahan boleh dibuat dalam pelbagai cara seperti perbahasan, perbandingan, cerita dan mencari-cari dalil dari alam sekeliling. Pendakwah juga hendaklah bijak dalam mendakwah kepada sasaran sama ada dengan cara lemah lembut atau ketegasan. Hal ini adalah kerana, sesetengah keadaan memerlukan cara yang tegas dalam menyampaikan dakwah.

Selain itu, bahagian metod yang perlu diberi perhatian adalah metod pada media. Media dakwah bererti saluran dakwah atau saluran sesuatu isi dakwah untuk disampaikan kepada sasaran. Dalam Bahasa Arab ia disebut sebagai wasilah. Tanpa wasilah, dakwah tidak dapat disampaikan ke seluruh manusia yang ada di bumi ini. Pendakwah juga hendaklah bijak dalam memilih wasilah yang ingin disampaikan. Contohnya, jika wasilah hanya melalui media cetak semata-mata, semestinya dakwah tidak sampai kepada orang yang tidak pandai membaca. media yang digunakan hendaklah mengikut sesuaian keadaan mahupun peredaran zaman bagi memudahkan dakwah sampai kepada sasaran. Pada zaman era moden kini, media berpengaruh adalah media-media seperti radio,televisyen, computer, telefon dan banyak lagi. Lebih- lebih lagi, purata penduduk bumi kini mempunyai pelbagai media sosial seperti “Whatsapp”, “Instagram”,”Facebook”, “Twitter”, “Tiktok” dan banyak lagi. Dengan menggunakan media sosial inilah, dakwah dapat berkembang dengan luas. Namun begitu, masih ada yang menggunakan aplikasi-aplikasi tersebut untuk memuaskan nafsu dan membuat dosa. Oleh itu, para pendakwah haruslah memanfaatkan sebaiknya media sosial dan menarik sebanyak mungkin pengguna media sosial untuk bersama-sama menggunakan media sosial untuk berdakwah atau menyampaikan nasihat yang baik-baik.



6.0       METOD UNTUK MENARIK PERHATIAN SASARAN


6.1       Persembahan yang cantik

Dakwah harus dipersembahkan kepada sasaran dalam bentuk yang cantik, sama ada dari sudut zahir atau batin. Sebabnya, sudah menjadi tabiat manusia sukakan benda-benda yang cantik.

 Kalau dilihat kepada al-Quran, ia disampaikan kepada manusia dalam bentuk yang secantik-cantiknya, sama ada dari sudut dalaman atau luaran, sehingga ia merupakan suatu mukjizat yang tidak dapat ditiru oleh manusia. Golongan yang peka amat tertarik dengan persembahan seperti ini.

Dakwah hendaklah dipersembahkan kepada sasaran dalam bentuk yang indah bahasanya, tekniknya dan sudut-sudut lain yang boleh memberi tarikan kepada sasaran.

 

 

 

6.2       Mengemukakan sesuatu pemikiran dengan label-label baru

Keadaan ini disebabkan setiap yang baru itu menarik perhatian. Maka, jika pendakwah boleh mengemukakan perkataan-perkataan, istilah-istilah, bentuk-bentuk dan susunan-susunan baru, ia lebih menarik perhatian sasaran terhadap dakwah yang disampaikan kerana tabiat manusia itu sukakan benda-benda yang baru.

Allah sendiri menggunakan metod ini, contohnya selalu mengubah nama al-Quran kepada al-Kitab, al-Furqan, al-Zikr, al-Tanzil dan lain-lain. Begitu juga Kiamat, diubah kepada Waqi’ah, Qari’ah dan Haqqah.

 

6.3       Bersimpati dengan masalah-masalah sasaran

Dakwah juga harus menyelitkan isu-isu simpatinya kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh sasaran. Hal ini membawa erti bahawa naluri manusia dan keperluannya hendaklah dimasukkan ke dalam isu-isu dakwah.

Negara-negara komunis selalu menonjolkan isu-isu yang berhubung dengan kelaparan dan kelas untuk menarik perhatian rakyat yang tertindas dan lemah. Amerika Syarikat, terutamanya sering menonjolkan isu-isu berhubung dengan demokrasi, kebebasan dan kemajuan ekonomi untuk menarik pengikutnya. Isu-isu tersebut mendapat sambutan di kalangan rakyat masing-masing.

Al-Quran telah menyentuh isu-isu yang menjadi naluri manusia ini. Contohnya, berhubung dengan pasaran dan kezaliman yang dihubungkan dengan kebangkitan semula. Firman Allah yang bermaksud:

“Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang. Iaitu orang-orang apabila        menerima sukatan daripada orang lain mereka meminta dipenuhi. Sedangkan apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain mereka mengurangi. Tidakkah orang-orang itu yakin bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan. Pada suatu hari yang besar. Iaitu hari ketika manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam.”(Surah al-Mutaffifin: 1-6)

Kezaliman terhadap golongan yang lemah yang dan dizalimi yang ditentang oleh ayat di atas akan menarik perhatian sasaran yang terlibat. Membiarkan anak-anak yang yatim dan tidak memberi makan kepada orang miskin dihubungkan dengan pembohongan kepada hari akhirat. Firman Allah maksudnya:

“Tahukah kamu orang yang mendustakan agama? Itulah orang-orang yang membiarkan anak yatim.”(Surah al-Ma’un: 1-2)

Sasaran yang dibela oleh ayat di atas, iaitu anak yatim dan orang miskin akan tertarik dengan pengajaran Islam, atas simpatinya. Pendakwah hendaklah peka dengan isu-isu yang boleh menarik naluri manusia.

 

6.4       Mengemukakan isu tepat pada waktunya

Sesuatu isu pengajaran yang dikemukakan kepada sasaran akan lebih menarik perhatian jika ia tepat pada waktu yang diperlukan. Seseorang akan menaruh perhatian yang lebih pada sesuatu perkara jika kena pada masanya. Dengan itu, iklan makanan yang lazat sekalipun tidak diambil peduli oleh orang yang kenyang selepas makan. Iklan minuman sejuk tidak diambil perhatian pada hari hujan.

          Al-Quran telah menggunakan cara ini, iaitu turunnya ayat-ayat setelah adanya pertanyaan daripada sasaran. Ayat-ayat al-Quran yang diturunkan memang sesuai pada waktunya kerana sasaran pada ketika itu sedang menunggu jawapan.

          Apa sahaja isu semasa yang memerlukan jawapan yang jelas kepada masyarakat yang sedang menunggu-nunggunya hendaklah diberikan perhatian oleh pendakwah untuk dikaitkan dengan dakwahnya supaya ia lebih menarik perhatian.

 

6.5       Menonjolkan unsur-unsur perlu

Sasaran akan menumpukan perhatian jika sesuatu yang ditonjolkan itu dikatakan sesuatu keperluan. Orang yang menghidapi sesuatu penyakit akan menaruh perhatian dan terus berhenti pada penjual ubat di tepi jalan, jika sekiranya pada ketika itu penjual ubat itu menerangkan penggunaan ubat bagi penyakit yang dihadapinya. Sejenis minyak rambut akan menjadi lebih laris jika disodorkan kepada orang yang mengalami masalah kelemumur, jika minyak rambut itu dikatakan mengandungi ubat antikelemumur.

          Al-Quran telah mengemukakan teori ini dalam ayat-ayatnya yang menerangkan pembalasan baik bagi golongan yang taat dan pembalasan buruk bagi golongan derhaka. Isu-isu Islam dilihat dari sudut keperluan kepada sasaran hendaklah ditonjolkan selalu untuk menarik perhatian sasaran.

 

6.6       Berdasarkan psikologi

Ilmu psikologi dan uslub dakwah merupakan dua perkara yang tidak boleh dipisah-pisahkan. Psikologi adalah ilmu berhubung dengan jiwa dan pemikiran manusia. Manakala uslub dakwah ialah cara bagaimana untuk mempengaruhi jiwa dan pemikiran manusia. Dengan itu, uslub dakwah banyak bergantung kepada ilmu psikologi.

Dakwah yang berdasarkan ilmu psikologi bukanlah satu perkara baru. Ia sudah lama wujud kerana pendakwah Islam yang mula-mula sekali iaitu Nabi Muhammad s.a.w. sendiri menggunakan cara tersebut. Kalau dikaji cara dakwah Rasulullah s.a.w. didapati ia penuh dengan penggunaan psikologi. Hal ini dapat dilihat daripada perbezaan jawapan oleh Nabi s.a.w. di dalam perkara yang sama kerana perbezaan orang yang bertanya.

 Penggunaan psikologi untuk kepentingan dakwah akan menjadi daya tarikan yang lebih dalam dakwah.

 

6.7       Penguasaan ilmu yang luas

Penerangan dakwah hendaklah dihubungkaitkan dengan isu-isu yang berlegar di sekitar kehidupan manusia. Untuk tujuan tersebut, pendakwah hendaklah mempelajari paling kurang asas ilmu-ilmu yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Melalui ilmu-ilmu itu, contoh-contoh dan perbandingan-perbandingan dapat dikemukakan dan hal ini boleh meyakinkan sasaran. Cara seperti ini boleh menjadi daya tarikan yang lebih kepada sasaran.


7.0       PENDEKATAN DAKWAH YANG SESUAI BAGI GOLONGAN MUALAF 

Golongan Mualaf haruslah diberikan pendekatan dakwah yang khusus dan sesuai bagi mereka. Hal Ini kerana, kebanyakkan daripada mereka masih mempunyai pengatahuan terhadap agama yang masih lagi rendah dan terbatas. Melihat dari keadaan itu, maka diperlukan beberapa pendekatan yang dapat memudahkan proses kegiatan dakwah terhadap golongan Mualaf. Antara pendekatan yang dapat dilakukan adalah melalui pendekatan Fardhiyyah. Pendekatan Fardhiyyah atau “Personal Approach” merupakan satu pendekatan yang dilaksanakan dengan cara mendampingi peribadi Mualaf tersebut. Pendekatan ini merupakan pendekatan yang paling awal digunakan oleh Rasulullah dalam menyebarkan dakwahnya. Sejak beliau menerima wahyu daripada Allah, beliau menyampaikannya kepada individu-individu yang dekat dengannya seorang demi seorang. Melalui pendekatan ini, pendakwah boleh melakukan dialog secara terus iaitu berdepan dengan individu Mualaf dan memberikan penjelasan-penjelasan mengenai permasalahan kehidupan mualaf dan mengenai kehidupan Beragama. Pengkaji dakwah juga bersepakat bahawa apabila umat Islam menjadi minoriti dalam suatu kawasan tertentu atau masih dalam keadaan lemah, maka pendekatan dakwah yang seharusnya dilakukan adalah dengan pendekatan mendekati invidu secara peribadi.

 

Seterusnya ialah melalui pendekatan Tarbiyyah. Pendekatan ini merupakan lanjutan dari pendekatan di atas dimana mereka yang sudah menerima Islam perlu diberi didikan yang kukuh sehingga mereka tidak dipengaruhi oleh pihak agama lain. Dengan wujudnya sahsiah yang kukuh, mereka juga boleh mempengaruhi orang lain untuk mendekati Islam. Selain itu, Pendekatan Al-Ardiyyah iatu merupakan pendekatan yang menggunakan cara penawaran kepada orang lain agar ia dapat menerima Islam sebagai panduan hidupnya. Rasulullah juga pernah memanfaatkan pendekatan ini untuk mendekati orang-orang yang datang berziarah ke Makkah sama ada dalam urusan perniagaan mahupun dalam urusan haji. Melalui pendekatan ini, beliau bergiat mendatangi khemah-khemah setiap kabilah untuk menawarkan Islam tanpa rasa kecewa jika tidak menemukan respon yang positif.

 

Di samping itu, pendekatan Al-Mujadalah juga merupakan elemen penting dalam dakwah.  Pendekatan Al-Mujadalah merupakan pendekatan yang bersifat perbincangan. Pendekatan ini juga merupakan suatu cara Rasulullah SAW dalam menjalankan misi dakwahnya terutama kepada golongan mualaf. Pendekatan seperti ini adalah amat munasabah bagi umat Islam bagi memperkenalkan Islam melalui pentas forum dan perbincangan ilmiah bagi tujuan membuka minda kepada para cendekiawan agar dapat mengkaji sendiri sejauh mana Islam membawa kepada keamanan dan kesejahteraan yang amat diimpikan oleh semua lapisan masyarakat.

 

8.0       RUMUSAN

            Berdasarkan tugasan yang diberikan ini, kita dapat mengenalpasti cara–cara untuk jadi pendakwah tapi seharusnya kita tidak lupa bahawa semua manusia dalam dunia ini bertanggungjawab dalam berdakwah. Oleh itu, kita wajarlah untuk mengambil perhatian dalam apa-apa yang berkaitan dakwah. Berdakwah ini amat penting dalam diri kita sebagai umat Islam kerana dengan berdakwalah kita dapat menyebarkan agama Islam ke seluruh dunia. Cuba bayangkan jika tiada orang yang berdakwah daalam dunia ini, semestinya Islam tidak dapat berkembang luas. Dalam berdakwah, bukan sahaja kita dapat menambahkan umat Islam di bumi malah kita juga akan mendapat pahala berjuang di atas jalan Allah. Dengan mengetahui metod-metod dakwah, kita dapat menambahkan lagi jumlah sasaran dan menarik sasaran untuk sama-sama berdakwah. Dengan mengikuti metod ini juga, sasaran akan lebih tertarik dan mengikut jejak langkah pendakwah. Disebabkan itu jugalah pendakwah seharusnya menunjukkan sifat yang terbaik, agar sasaran dapat menghormati dan mengikuti nasihat pendakwah. Akhir sekali, sebagai pendakwah kita haruslah mempunyai strategi yang mantap untuk berdakwah dan mengambil penting semua aspek dalam menyampaikan dakwah. Semoga kita semua dapat menjadi pendakwah yang diberkati Allah S.W.T. sekian, terima kasih. 


Comments